Dibuat untuk alat bantuan pendengaran iPhone

Jika anda mempunyai alat bantuan pendengaran yang Dibuat untuk iPhone (tersedia untuk iPhone 4s atau lebih baru), anda boleh menggunakan iPhone untuk melaraskan setingnya agar sesuai dengan keperluan pendengaran anda.

  • Laraskan seting alat bantuan pendengaran dan lihat status. Pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > Alat Bantuan Pendengaran atau setkan Pintasan Kebolehcapaian untuk membuka Kawalan Alat Bantuan Pendengaran. Lihat Pintasan Kebolehcapaian.

    Untuk akses pintasan daripada Skrin kunci, aktifkan Seting > Kebolehcapaian > Alat Bantuan Pendengaran > Kawalan pada Skrin Kunci. Gunakan seting untuk:

  • Semak status bateri alat bantuan pendengaran.

  • Laraskan kelantangan mikrofon ambien dan penyamaan.

  • Pilih alat bantuan pendengaran yang mana (kiri, kanan atau kedua-duanya) yang harus menerima audio penstriman.

  • Kawal Dengar Secara Langsung.

  • Gunakan iPhone sebagai mikrofon jauh. Anda boleh menggunakan Dengar Secara Langsung untuk menstrim bunyi daripada mikrofon dalam iPhone ke alat bantuan pendengaran anda. Ini boleh membantu anda mendengar dengan lebih baik dalam situasi tertentu dengan meletakkan iPhone berdekatan sumber bunyi. Klik tiga kali butang Utama, pilih Alat Bantuan Pendengaran, kemudian ketik Mulakan Dengar Secara Langsung.

  • Strim audio ke alat bantuan pendengaran anda. Strim audio daripada Telefon, Siri, Muzik, Video dan banyak lagi dengan memilih alat bantuan pendengaran daripada menu AirPlay butang AirPlay.

Mod Alat Bantuan Pendengaran

iPhone mempunyai Mod Alat Bantuan Pendengaran yang, apabila diaktifkan, mungkin mengurangkan gangguan dengan sesetengah model alat bantuan pendengaran. Mod Alat Bantuan Pendengaran mengurangkan kuasa transmisi bagi radio selular dalam jalur GSM 1900 MHz dan mungkin menyebabkan pengurangan dalam liputan selular 2G.

  • Aktifkan Alat Bantuan Pendengaran. Pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > Alat Bantuan Pendengaran.

Keserasian alat bantuan pendengaran

FCC telah menggunakan peraturan keserasian alat bantuan pendengaran (HAC) untuk telefon wayarles digital. Peraturan ini memerlukan telefon tertentu untuk diuji dan dinilai di bawah standard keserasian alat bantuan pendengaran C63.19-2007 oleh American National Standard Institute (ANSI).

Standard ANSI untuk keserasian alat bantuan pendengaran mengandungi dua jenis rating:

  • Rating “M” untuk gangguan frekuensi radio yang terkurang untuk mendayakan gandingan akustik dengan alat bantuan pendengaran yang tidak beroperasi dalam mod telegelung

  • Rating “T” untuk gandingan induktif dengan alat bantuan pendengaran yang beroperasi dalam mod telegelung

Rating ini diberi pada skala satu hingga empat, di mana empat adalah paling serasi. Telefon dianggap serasi alat bantuan pendengaran di bawah peraturan FCC jika ia dikadarkan M3 atau M4 untuk berpasangan akustik dan T3 atau T4 untuk berpasangan induktif.

Untuk rating keserasian alat bantuan pendengaran iPhone, lihat www.apple.com/support/hac.

Rating keserasian alat bantuan pendengaran tidak menjamin bahawa alat bantuan pendengaran tertentu akan berfungsi dengan telefon tertentu. Sesetengah alat bantuan pendengaran mungkin berfungsi dengan baik dengan telefon yang tidak memenuhi rating tertentu. Untuk memastikan saling operasi antara alat bantuan pendengaran dan telefon, cuba gunakannya bersama-sama sebelum pembelian.

Telefon ini telah diuji dan dinilai untuk digunakan bersama-sama alat bantuan pendengaran bagi beberapa teknologi wayarles yang digunakannya. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat teknologi wayarles yang lebih baru yang digunakan dalam telefon ini yang belum diuji penggunaannya dengan alat bantuan pendengaran. Adalah penting untuk mencuba ciri berlainan pada telefon ini dengan menyeluruh dan di lokasi berlainan, menggunakan alat bantuan pendengaran atau implan koklea anda, untuk menentukan sama ada anda mendengar sebarang hingar gangguan. Berbincang dengan pembekal khidmat anda atau pengilang telefon ini untuk mendapatkan maklumat mengenai keserasian alat bantuan pendengaran. Jika anda mempunyai soalan mengenai dasar pengembalian atau pertukaran, hubungi pembekal khidmat atau penjual telefon anda.