AssistiveTouch membantu anda untuk menggunakan iPhone jika anda menghadapi kesukaran menyentuh skrin atau menekan butang. Anda boleh menggunakan aksesori penyesuaian (seperti kayu bedik) bersama-sama AssistiveTouch untuk mengawal iPhone. Anda juga boleh menggunakan AssistiveTouch tanpa aksesori untuk menjalankan gerak isyarat yang sukar untuk anda.

  • Aktifkan AssistiveTouch. Pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > AssistiveTouch atau gunakan Pintasan Kebolehcapaian. Lihat Pintasan Kebolehcapaian.

  • Laraskan kelajuan menjejak (dengan aksesori dipasang). Pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > AssistiveTouch > Kelajuan Sentuhan.

  • Tunjukkan atau sembunyikan menu AssistiveTouch (dengan aksesori dipasang). Klik butang kedua pada aksesori anda.

  • Alihkan butang menu. Seretnya ke mana-mana pinggir skrin.

  • Sembunyikan butang menu (dengan aksesori dipasang). Pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > AssistiveTouch > Sentiasa Tunjukkan Menu.

  • Lakukan leretan atau seret yang menggunakan 2, 3, 4, atau 5 jari. Ketik butang menu, ketik Peranti > Lagi > Gerak Isyarat, kemudian ketik bilangan digit yang diperlukan untuk gerak isyarat. Apabila bulatan sepadan muncul atas skrin, leret atau seretnya dalam arah yang diperlukan oleh gerak isyarat. Apabila anda selesai, tekan butang menu.

  • Lakukan gerak isyarat cubit. Ketik butang menu, ketik Kegemaran dan kemudian ketik Cubit. Apabila bulatan cubit muncul, sentuh di mana-mana pada skrin untuk menggerakkan bulatan cubit, kemudian seret bulatan cubit ke dalam atau luar untuk menjalankan gerak isyarat cubit. Apabila anda selesai, tekan butang menu.

  • Cipta gerak isyarat anda sendiri. Anda boleh menambah gerak isyarat kegemaran anda sendiri pada menu kawalan (contohnya, ketik dan tahan atau putaran dua jari). Ketik butang menu, ketik Kegemaran, kemudian ketik ruang letak gerak isyarat kosong. Atau pergi ke Seting > Umum > Kebolehcapaian > AssistiveTouch > Cipta Gerak Isyarat Baru.

    Contoh 1:  Untuk mencipta gerak syarat putaran, pergi ke Seting > Kebolehcapaian > AssistiveTouch > Cipta Gerak Isyarat Baru. Pada skrin rakaman gerak isyarat yang menggesa anda untuk menyentuh bagi mencipta gerak isyarat, pusing dua jari pada skrin iPhone di sekeliling titik di antaranya. Jika tidak mendapat hasil yang diinginkan, ketik Batal dan cuba sekali lagi. Apabila berjaya, ketik Simpan dan beri nama pada gerak isyarat tersebut—mungkin “Pusing 90.” Kemudian, contohnya, untuk memusingkan paparan dalam Peta, buka Peta, ketik butang menu AssistiveTouch dan pilih Pusing 90 daripada Kegemaran. Apabila bulatan biru yang mewakili kedudukan jari mula muncul, seretnya ke titik pada mana anda mahu pusingkan peta, kemudian lepaskan. Anda boleh mencipta beberapa gerak isyarat dengan darjah pemusingan yang berlainan.

    Contoh 2:  Mari kita cipta gerak isyarat sentuh dan tahan yang anda gunakan untuk mula menyusun semula ikon pada skrin Utama anda. Pada masa ini, pada skrin rakaman gerak isyarat, tahan jari anda di satu titik sehingga bar kemajuan rakaman sampai separuh jalan, kemudian angkat jari anda. Berhati-hati agar tidak menggerakkan jari anda semasa rakaman, jika tidak, gerak isyarat akan dirakamkan sebagai seretan. Ketik Simpan dan namakan gerak isyarat. Untuk menggunakan gerak isyarat, ketik butang menu AssistiveTouch dan pilih gerak isyarat anda daripada Kegemaran. Apabila bulatan biru yang mewakili sentuhan anda muncul, seretnya ke atas ikon skrin Utama dan lepaskan.

  • Kunci atau pusing skrin, laraskan kelantangan iPhone atau simulasikan menggoncang iPhone. Ketik butang menu, kemudian ketik Peranti.

  • Simulasikan menekan butang Utama. Ketik butang menu, kemudian ketik Utama.

  • Keluar daripada menu tanpa melakukan gerak isyarat. Ketik mana-mana di luar menu.